KUCHING: Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli menghadiri Majlis Jamuan Teh sempena lawatan rasmi Baginda ke Kuching pada Rabu.
Terdahulu, Baginda yang turut ditemani oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkenan melawat Kubu Margherita dan bersiar-siar di sekitar kawasan Dataran Ibu Pertiwi sebelum bergerak ke Tea House.
Semasa lawatan, Baginda berkesempatan mendengar taklimat mengenai sejarah Muzium Brooke yang diberikan oleh Ketua Muzium dan Pendidikan, Salliza Sideni.
Semasa Majlis Jamuan Teh itu, Baginda disajikan dengan pelbagai juadah serta dihiburkan dengan persembahan menarik daripada penyanyi tempatan.
Sejurus selesai majlis tersebut, Baginda berkenan berjalan merentasi Jambatan Darul Hana sambil menikmati pemandangan matahari terbenam di bandaraya Kuching yang serba indah.
Baginda kemudiannya merakamkan gambar kenangan bersama dif-dif kehormat di hadapan Kubu Margherita dan Dataran Ibu Pertiwi.
Suasana dimeriahkan lagi dengan kehadiran rakyat jelata yang berpusu-pusu untuk merakamkan gambar kenangan bersama Tengku Hassanal.
Baginda yang terkenal dengan sikap rendah hati dan berjiwa rakyat dilihat tidak kekok untuk beramah mesra sambil melayani permintaan rakyat jelata yang teruja bergambar bersama.
#sarawakku
Sumber dari : Sarawakku